Kaji semula cadangan bayaran SSPA secara bulanan

Cadangan pembayaran simpanan KWSP kepada penjawat awam secara bulanan seperti kaedah pencen perlu dikaji semula. Gambar kecil: Azih
Cadangan pembayaran simpanan KWSP kepada penjawat awam secara bulanan seperti kaedah pencen perlu dikaji semula. Gambar kecil: Azih
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pembayaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada penjawat awam secara bulanan seperti kaedah pencen perlu dikaji semula dan dibincangkan menyeluruh bersama kesatuan-kesatuan penjawat awam.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasma), Datuk Azih Muda berkata, KWSP merupakan simpanan milik individu hasil caruman bersama pekerja dan majikan, menjadikannya tidak wajar untuk kerajaan pula menentukan kaedah pengeluaran wang milik penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya menentukan skim bayaran bulanan itu secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu menetapkan tempoh pelaksanaan bersifat percubaan sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun untuk menilai keberkesanan serta kelemahan sistem tersebut.

“KWSP ini merupakan caruman pekerja, bukan wang kerajaan. Kalau seseorang itu sudah menyimpan dia berhak tentukan sama ada mahu keluarkan sekali gus atau secara berperingkat.

“Tidak dinafikan ada kebimbangan seperti penipuan atau ‘scam’ dalam talian tetapi itu tak boleh dijadikan alasan mengubah dasar pengeluaran simpanan yang sah milik penyimpan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan skim pencen, dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan.

Melaluinya, penjawat awam menepati had umur persaraan ditetapkan akan dibayar secara bulanan seperti kaedah pencen sebelum ini, berbanding dibenarkan membuat pengeluaran secara sekali gus.

Cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan banyak kes pesara kerajaan kerugian wang persaraan akibat menjadi mangsa penipuan, selain membolehkan simpanan hari tua diuruskan lebih efisien.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azih, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan pembayaran secara bulanan kepada penjawat awam, prinsip sama juga seharusnya dikenakan ke atas pekerja sektor swasta.

“Tidak adil jika hanya penjawat awam sahaja dikenakan kaedah itu. Pekerja sektor swasta juga perlu dikenakan bayaran secara bulanan.

“Mereka ini masing-masing mempunyai perancangan kewangan tersendiri, oleh itu perkara ini wajar dibincangkan semula secara teliti bersama persatuan penjawat awam,” ujarnya.

Justeru beliau turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lebih aktif berinteraksi dengan wakil persatuan penjawat awam sebelum memuktamadkan sebarang perubahan dalam kaedah pembayaran simpanan persaraan.

“JPA perlu memperbanyakkan libat urus dengan persatuan penjawat awam dalam memperhalusi kaedah pembayaran kepada mereka yang tidak lagi menikmati skim pencen.

“Jika hendak melaksanakan kaedah baru, ia haruslah diselaraskan secara adil antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!