Ferrari terbakar selepas terbabas langgar penghadang jalan

ROMPIN - Seorang jurutera IT warga Singapura dan teman wanitanya terselamat apabila kereta mewah yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 110 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, kereta jenis Ferrari 458 Spider yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu musnah terbakar.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama 13 pemandu Ferrari lain sedang berkonvoi dalam perjalanan dari Singapura ke Cherating, Kuantan untuk bercuti.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian berhampiran Jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
"Akibat kejadian itu, kereta mewah tersebut terbakar hingga musnah sepenuhnya.
"Mangsa dan teman wanitanya warga Hong Kong berusia 33 tahun sempat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Sharif Shai menambah, susulan kejadian itu, mangsa telah dikenakan saman di bawah Peraturan 10 LN 166/59 dengan denda RM300 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!