Lelaki hilang dihanyut arus di Pasir Puteri ditemukan lemas

Laporan Sinar Harian mengenai pekerja restoran dikhuatiri lemas dihanyut arus deras ketika mandi di Pasir Puteri.
Laporan Sinar Harian mengenai pekerja restoran dikhuatiri lemas dihanyut arus deras ketika mandi di Pasir Puteri.
A
A
A

KUANTAN - Lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Pasir Puteri, Sungai Lembing, Rabu lepas, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, mayat Wan Izani Wan Mohd Samsudin, 29, ditemukan pada jam 10.30 pagi tadi oleh anggota polis dan penduduk kampung pada jarak kira-kira 12 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.

"Kematian mangsa disahkan Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Lembing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini dimulakan pada jam 8.30 pagi melibatkan 32 anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pencarian ditumpukan bermula dari tempat kejadian dan sepanjang pesisiran sungai kawasan perkelahan menggunakan bot pihak berkuasa selain selaman oleh unit Skuba JBPM.

Wan Zahari berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Semalam media melaporkan, Wan Izani yang berasal dari Kelantan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di kawasan perkelahan berkenaan pada jam 5.54 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!