'Mohon doa kejayaan, keselamatan ke puncak Everest'

SHAH ALAM - Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang kini dalam misi pendakian ke puncak Everest memohon doa orang ramai untuk kejayaan dan keselamatannya.
Menurut anak Sik, Kedah itu, dia bersama dua orang pembimbing akan memulakan perjalanan Projek Pendakian Amal Bomba de Everest: Mencari Hati Emas 2025 pada malam ini.

"Insya-ALLAH tengah malam ini saya akan memulakan pendakian ke puncak. Doakan saya berjaya menawan puncak Everest. Saya juga memohon orang ramai menyelit doa untuk saya selamat dalam misi ini dan pulang semula ke tanah air pada 25 Mei.
"Tidak lupa juga, terima kasih kepada pengurusan tertinggi jabatan, keluarga, rakan strategik penganjur, penaja-penaja dan semua yang menyokong. Doakan juga agar tabung-tabung amal berjaya mendapat sokongan dan mencapai objektifnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk tabung membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban ketika menjalankan tugas dan masih dalam perkhidmatan.

Mohd Fakhrul Munir yang merupakan anggota Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah itu berlepas dari tanah air pada 7 April lalu bagi menjayakan misi menawan puncak gunung tertinggi dunia.
Sementara itu, besar harapan anggota bomba berusia 43 tahun itu untuk lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil bagi menjadi penyumbang kepada tabung-tabung kebajikan terpilih melalui pendakian amal berkenaan.
"Sekiranya anda berhati emas untuk menyumbang kepada tabung-tabung terbabit, anda boleh menyumbang melalui QR Code yang disertakan," katanya.

Tabung inisiatif Mohd Fakhrul Munir menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest: Mencari Hati Emas 2025 itu bertujuan untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba bagi yang terkorban atau cedera sewaktu bertugas melalui Program Bomba de Everest oleh Kelab Kembara Kosmopolitan.
Selain itu, ia juga untuk Tabung Transplantasi Buah Pinggang bagi rawatan dan pembedahan buah pinggang bagi B40 atau asnaf dikendalikan Gedung Penawar yang memiliki Pusat Dialisis An Nur Mukmin di seluruh Malaysia serta Waqaf An Nur Johor dengan kerjasama Hospital UiTM Puncak Alam.
Inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada Tabung Pendidikan Al-Quran oleh Yayasan Al Baghdadi untuk menaja pengajian al-Quran pada anak yatim, asnaf, ibu tunggal, warga emas dan mualaf seperti bengkel tajwid, kelas hafazan serta lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


