Insiden Ulu Tiram: Balai polis dikategorikan tempat larangan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua balai polis kini diletakkan di bawah kategori tempat atau kawasan larangan bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu antara tindakan segera yang diambil kementeriannya susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang menyaksikan dua anggota pasukan berkenaan terkorban setahun lalu.
Menurutnya, dengan adanya penambahbaikan tersebut membolehkan keselamatan petugas dan orang ramai yang mendapatkan khidmat di balai polis lebih terjamin.
“Reaksi segera kita selepas insiden itu, kita telah memeriksa balik semua ibu pejabat polis kontinjen (IPK), ibu pejabat polis daerah (IPD), dan pos polis ini hendaklah dimasukkan di bawah kategori tempat, kawasan larangan.
“Sebelum daripada insiden, kita tidak begitu perasan, ada sebenarnya premis polis ini yang belum dimasukkan dalam kategori tempat larangan, kawasan larangan.
“Istilah tempat larangan itu sendiri pun memberi konotasi bahawa ia mempunyai sistem kerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza dengan premis lain. Jadi, kesan segera waktu itu saya minta untuk memasukkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen Malaysia di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian tragis pada 17 Mei tahun lalu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang lelaki yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.
Turut maut dalam serangan jam 2.45 pagi itu, suspek yang berusia 21 tahun.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sentiasa menilai dan meneliti penambahbaikan SOP balai polis di seluruh negara terutama dalam aspek kesiapsiagaan.
Ujarnya, beliau juga turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk meneliti kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani situasi kritikal seperti pencerobohan berkenaan.
“Kalau kita lihat dari segi modul (latihan polis) ada kekuatan tersendiri kerana anggota yang terlibat itu pada awalnya dapat tangani saat kritikal tersebut,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga memberi jaminan keselamatan rakyat sentiasa diletakkan sebagai keutamaan.
“Dari sudut jaminan keselamatan yang lain sudah tentu pasukan polis khususnya Cawangan Khas memainkan peranan untuk kesan semua ancaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
