Aaron-Wooi Yik teruskan momentum di Thailand

Aaron-Wooi Yik kekalkan momentum positif di Thailand. Foto Agensi
Aaron-Wooi Yik kekalkan momentum positif di Thailand. Foto Agensi
A
A
A

JUARA beregu Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke suku akhir Kejohanan Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita di Stadium Nimibutr pada Khamis.

Pasangan beregu negara itu hanya memerlukan kira-kira 38 minit untuk menang 21-17, 21-17, ke atas pasangan Jepun yang menduduki kedudukan ke-59 dunia berkenaan.

Wooi Yik berkata prestasi mereka kini bertambah baik berbanding pusingan pertama selepas berjaya melaksanakan strategi jurulatih mereka.

"Rancangan permainan menyerang kami berjalan dengan baik. Pada set kedua, kami bermain sedikit terkejar sehingga ke separuh permainan, namun selepas itu, kami mengubah sedikit ritma dan ia berbaloi," katanya.

Selepas ini Aaron-Wooi Yik akan berhadapan rakan sepasukan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, yang sebelum ini mengalahkan satu lagi pasangan beregu Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai, 21-11, 21-11, dalam masa 24 minit.

Mengulas lanjut, Aaron gembira melihat pemain muda bermain dengan baik dan berharap mereka akan terus bermain dengan baik pada perlawanan seterusnya.

"Ia satu tanda yang positif untuk negara apabila pemain muda semakin baik.Saya berharap mereka akan terus memberikan yang terbaik mereka. Kami akan bermain permainan terbaik kami dan semoga pasangan yang lebih baik, menang," katanya.

Sementara itu satu lagi pasangan beregu Malaysia Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tewas kepada pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21 dan 18-21 dalam masa 46 minit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pemain perseorangan profesional negara Aidil Sholeh Ali Sadikin, memberikan cabaran hebat sebelum tewas kepada pemain ke-20 dunia Lu Gang Zu dari China.

Aidil Sholeh menang set pertama 21-18, namun gagal meneruskan kemenangan itu pada set kedua dan ketiga apabila tewas 16-21, 14-21 pada perlawanan yang berlangsung lebih sejam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!