Cklamovski pertahan panggil pemain JDT kurang minit permainan

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mempertahankan tindakannya memanggil beberapa pemain yang kurang minit perlawanan bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu Cape Varde dan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam.
Menurutnya, keputusan memanggil pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Nathaniel Hong Wan dan Junior Eldstal telah dilakukan selepas membuat pemantauan dalam sesi latihan kedua-dua pemain itu.
"Hong Wan telah menjalani latihan beberapa minggu sebelum musim tamat bersama JDT. Dia menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan, kelihatan tajam dan bersedia sepenuhnya.
"Kami memanggilnya untuk memberikan peluang dan ini adalah peluang buatnya untuk mempamerkan aksi terbaik dan melangkah ke hadapan bersama pasukan kebangsaan.
"...Junior berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Saya lihat sendiri sesi latihan di JDT dan kelab lain. Tahap intensiti dan semangat adalah perkara yang saya perhatikan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada pemain yang tidak terpilih mewakili Harimau Malaya supaya kekal positif dan menegaskan peluang tetap ada untuk mereka.
"Seorang pemain tidak seharusnya hilang semangat hanya kerana tidak dipilih.
"Semua pemain masih berpeluang. Ya, ada yang terlepas kem kali ini, ada yang terlepas sebelum ini. Tetapi mereka masih boleh dipanggil untuk aksi akan datang.
"Saya galakkan mereka untuk kekal positif, terus memperbaiki diri, dan sentiasa bersedia untuk pemilihan seterusnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!