Pengurus restoran nasi kandar didenda RM100,000

Das Jhonny didenda RM100,000 kerana menyimpan barang kawalan minyak masak di premis yang tidak dilesenkan.
Das Jhonny didenda RM100,000 kerana menyimpan barang kawalan minyak masak di premis yang tidak dilesenkan.
A
A
A

SEREMBAN - Padah menyimpan barang kawalan, 1,241 kilogram (kg) minyak masak di premis yang tidak dilesenkan, seorang pengurus syarikat sebuah restoran nasi kandar di daerah ini didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Das Jhonny Chandra, 38, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda, selain memutuskan agar ekshibit dilucuthak kepada pihak pendakwaan serta pasport tertuduh dikembalikan.

Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) yang merupakan warga Bangladesh telah didapati menyimpan barang kawalan, iaitu minyak masak seberat 1,241 kg, di dalam tong ‘jerry’ di premis yang tidak dilesenkan oleh pegawai bekalan untuk tujuan penyimpanan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hostel pekerja restoran di Dataran Sentral, Seremban kira-kira jam 3.15 petang pada 26 April 2024.

Berikutan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peguam Ashok Atimulan dalam rayuannya memaklumkan bahawa anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, selain menanggung ibu bapa yang telah lanjut usia di Bangladesh.

Katanya, OKS juga merupakan penanggung utama ekonomi keluarganya dan dia kesal serta insaf atas kesalahan yang dilakukan.

“Sejak awal serbuan, OKS memberi kerjasama dengan pihak KPDN. Dia juga tidak mempunyai sabitan lampau dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Saya merayu agar hukuman ringan dalam bentuk denda dikenakan dan memohon pasport OKS dikembalikan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi, pula berkata pindaan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM1 juta yang telah diputuskan oleh Parlimen menunjukkan bahawa kesalahan ini adalah serius.

Beliau turut memohon agar mahkamah meneliti faktor kepentingan awam kerana dalam kes ini, barang yang terlibat ialah barang kawalan, iaitu minyak masak.

Katanya lagi, ketirisan barang kawalan merupakan isu nasional yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyat.

“Faktor kepentingan awam memerlukan mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar berupaya mencegah peniaga lain daripada melakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!