Kanak-kanak 12 tahun dicabul ketika mendaki gunung

SINJAI - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa pencabulan di laluan pendakian Gunung Bawakaraeng, Sinjai, Sulawesi Selatan, ketika sedang mengalami hipotermia.
Suspek yang dikenali dengan inisial MY, 21, kini telah ditahan pihak berkuasa.
Pendaki wanita bawah umur itu dipercayai menjadi mangsa serangan seksual di Pos 7 Gunung Bawakaraeng, yang terletak di Dusun Tassoso, Kecamatan Sinjai Barat, Kabupaten Sinjai, sekitar jam 11 malam pada Ahad, 20 April lalu.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Ibu Pejabat Polis Daerah (Polres) Sinjai, AKP Andi Rahmatullah, kejadian berlaku ketika mangsa bersama kira-kira 10 orang rakannya sedang dalam perjalanan menuruni gunung selepas mendaki selama sehari.
“Selepas melakukan pendakian sehari, mangsa bersama rakan-rakannya menuruni lereng Gunung Bawakaraeng,” katanya ketika dihubungi detikSulsel, pada 10 Mei 2025.
Setibanya di Pos 8, kumpulan pendaki berkenaan berehat seketika untuk mengemas barang.
Ketika itu, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai petugas pos datang dan mempersoalkan kehadiran mereka di situ.
“Pertanyaan suspek tidak diendahkan. Setelah barang-barang selesai dikemas, mereka meninggalkan Pos 8 dan meneruskan perjalanan ke Pos 7,” jelasnya.
Dalam perjalanan, mangsa tiba-tiba mengalami hipotermia atau kesejukan melampau, lalu mereka berhenti untuk berehat di Pos 7.
Ketika sedang berehat di dalam khemah, suspek dikatakan masuk secara senyap dan mula memeluk mangsa.
“Mangsa yang sedang dalam keadaan sejuk cuba melepaskan diri dengan mengangkat kedua-dua tangan, namun tidak berdaya kerana terlalu lemah,” katanya.
Tindakan suspek terbongkar apabila seorang rakan mangsa melihat kejadian itu dan segera menjerit untuk membangunkan rakan-rakan lain.
“Apabila rakan mangsa menjerit dari arah belakang, suspek terus melepaskan pelukannya dan melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya lagi.
Mangsa dan kumpulannya hanya membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Rabu, 7 Mei 2025.
Sehari selepas laporan diterima, suspek ditangkap di kawasan Kecamatan Sinjai Tengah oleh Pasukan Gerakan Khas (Resmob) Polres Sinjai.
“Suspek ditahan selepas sehari laporan dibuat. Berdasarkan siasatan awal, motif serangan disebabkan suspek bernafsu apabila melihat mangsa,” ujar Andi.
Kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut undang-undang berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!