Sanusi sahkan terima jemputan rasmi hadiri LIMA '25

Muhammad Sanusi mengesahkan telah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri semua acara sempena LIMA '25 yang bakal berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.
Muhammad Sanusi mengesahkan telah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri semua acara sempena LIMA '25 yang bakal berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan telah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri semua acara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) yang bakal berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.

Beliau berkata, jemputan tersebut termasuk majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kehadirannya dalam acara berprestij itu.

Menurutnya, penganjuran kali ini lebih sempurna berbanding LIMA 2023 yang menimbulkan kontroversi apabila namanya dihalang daripada menghadiri acara tersebut.

“Tahun ini saya sudah dijemput secara rasmi, jadi tidak timbul isu seperti sebelum ini.

"Mereka sudah belajar dari kesilapan lalu, dulu mereka 'test market', sekarang mereka sudah tahu kesannya jika tak jemput saya,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi menyifatkan isu jemputan hanya dibangkitkan oleh ahli politik tertentu dan bukannya penganjur acara.

“Saya yakin penganjur tidak ada masalah dalam hal jemputan kepada ketua kerajaan negeri, sebaliknya dimainkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik semata-mata.

“Terima kasih atas jemputan, buat di Kedah takkan tak jemput, selaku tuan rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada penganjuran LIMA 2023, Muhammad Sanusi mendedahkan wujud arahan bertulis oleh Kabinet yang menghalang beliau menghadiri acara rasmi kerajaan Persekutuan termasuk LIMA 2023.

Ketika itu, beliau mendakwa, ia bukan tuduhan bagi mencalarkan imej kerajaan Persekutuan, sebaliknya dibuktikan dengan kewujudan arahan bertulis, menggantikan kehadiran Menteri Besar Kedah dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi memberi jaminan semua persiapan termasuk bekalan air bersih sepanjang penganjuran LIMA 2025 dalam keadaan terkawal dan mencukupi.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah melaksanakan pelan kontingensi khas selama tujuh hari bermula 19 Mei bagi memastikan permintaan air yang dijangka meningkat sebanyak 30 peratus dapat dipenuhi.

“Kita jangkakan seramai 300,000 pengunjung akan hadir ke Langkawi sepanjang LIMA berlangsung. SADA telah melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi memastikan tiada gangguan bekalan air,” katanya.

Menurutnya, jumlah akaun aktif di Langkawi ialah sebanyak 33,623 akaun, dan hanya 32 akaun sahaja terjejas dan memerlukan bantuan bekalan air melalui lori tangki.

Tambah beliau, antara langkah yang diambil bagi memastikan kelancaran bekalan air sepanjang LIMA 2025 termasuk menambah pengabstrakan air mentah bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru beroperasi pada kapasiti maksimum.

“Turut dilaksanakan pembaikan paip bocor dasar laut berusia 27 tahun di Penarak dengan menggunakan khidmat penyelam komersial bagi meningkatkan operasi LRA Padang Saga 3 untuk menampung kekurangan sebanyak tiga juta liter sehari (MLD).

“Memasang injap pengurang tekanan (PRV) untuk mengawal tekanan dan mengurangkan kebocoran dalam sistem agihan utama.

“Menyediakan tangki statik di kawasan berisiko gangguan serta menambah lori tangki sewaan bagi menyokong sembilan lori sedia ada,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, dua unit ‘jumbo tanker’ disediakan sebagai penyokong kepada lori bersaiz kecil bagi mempercepatkan penghantaran bekalan air.

“Pasukan pemantau khas turut diwujudkan untuk berhubung terus dengan bilik gerakan operasi bantuan bekalan air.

“Kita sudah buktikan kejayaan dalam penganjuran LIMA 2023 lalu dan akan pastikan kelancaran sama pada penganjuran kali ini,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!