[VIDEO] Nahas FRU: KDN sedia pasukan kaunselor bantu waris
IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan kaunselor khas bagi membantu keluarga anggota nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada Selasa.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, khidmat kaunseling itu penting bagi memastikan waris yang terkesan dapat melalui detik sukar dengan baik selepas kehilangan orang tersayang secara mengejut.
“Kita tak boleh pandang ringan kesan trauma yang mereka alami. Semalam orang yang mereka sayangi masih ada, hari ini sudah tiada. Maka kehadiran kaunselor adalah keperluan mendesak bagi memberikan sokongan emosi kepada keluarga.
“Saya sendiri menzahirkan simpati dan memberikan sokongan moral mewakili KDN kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini pada Rabu.
Dalam kemalangan jam 8.51 pagi Selasa di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan itu, lapan anggota FRU disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil mengalami kegagalan fungsi stereng sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan FRU yang membawa 18 anggota.
Saifuddin berkata, selain sokongan emosi, kementeriannya turut menyalurkan bantuan kewangan segera sebanyak RM1,200 kepada setiap keluarga mangsa bagi meringankan urusan pengurusan jenazah.
“Proses bedah siasat selesai sekitar jam 1 pagi dan kebanyakan jenazah selamat dikebumikan seawal jam 5 pagi hingga 9 pagi. Bagi seorang anggota berbangsa India, saya difahamkan urusan pengebumian sedang diselaraskan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau juga mengarahkan supaya proses penyaluran insurans kelompok kepada waris dipercepatkan tanpa sebarang kelewatan.
“Saya diberi jaminan ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Ini penting supaya kita dapat menunjukkan bahawa seluruh pasukan prihatin dan bersimpati dengan nasib keluarga mangsa,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyumbangkan bantuan peribadi berjumlah RM1,000 kepada waris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!