Kunjungi 19 muzium secara percuma Ahad ini

PUTRAJAYA - Sebanyak 19 muzium di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dibuka secara percuma pada Ahad ini sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia meliputi Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Automobil Nasional, Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan, Muzium Chimney, Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Muzium Kota Kuala Kedah.
Turut disenarai, Muzium Kota Kayang, Muzium Perak, Muzium Matang, Muzium Sungai Lembing dan Muzium Lukut.
Ujarnya, orang ramai harus mengambil peluang tersebut untuk menyelami kekayaan sejarah, kepelbagaian budaya, dan semangat perpaduan yang menjadi teras identiti negara.
"Dari utara ke selatan, dari timur ke barat, muzium menjadi titik pertemuan antara warisan silam dan aspirasi masa depan, menghubungkan komuniti atas semangat perpaduan dan kecintaan terhadap sejarah.
"Ayuh lawati muzium-muzium JMM di seluruh negara dan raikan warisan kita bersama-sama," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun.
Ia dianjurkan oleh International Council of Museums (ICOM) sejak tahun 1977 bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan muzium dalam pembangunan masyarakat.
Pada tahun ini, 'Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas' diangkat sebagai tema sambutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


