‘Saya kembali di Terbuka Jepun’

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mengumumkan akan kembali memeriahkan gelanggang badminton antarabangsa menerusi penampilan di Terbuka Jepun 2025 yang dijadualkan berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 20 Julai.
Zii Jia menjelaskan bahawa keputusan untuk kembali beraksi secara berhati-hati adalah bagi memastikan pemulihan sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lalinya yang dialaminya sebelum ini.
Malah, beliau percaya bahawa Terbuka Amerika Syarikat 2025 di Iowa (24-29 Jun) terlalu awal untuk kemunculan semulanya.
“Saya rasa agak terlalu cepat untuk beraksi semula di Terbuka Amerika Syarikat 2025 dan mungkin akan menangguhkannya dahulu.
“Saya berharap dapat bermain kembali pada Terbuka Jepun dan Terbuka China 2025 (22-27 Julai),” katanya kepada media selepas menghadiri Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 pada Selasa.
Kali terakhir pemain ranking kelapan dunia itu beraksi adalah pada kejohanan Seluruh England 2025 di Birmingham (11-16 Mac), di mana beliau terkandas di pusingan pertama setelah tewas kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, dalam pertarungan tiga set yang sengit.
Susulan kecederaan buku lali tersebut, beliau terpaksa menarik diri daripada Terbuka Swiss 2025 yang berlangsung di Basel, Switzerland (18-23 Mac).
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut menyuarakan harapan agar pelantikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dapat membawa perubahan positif dan suntikan baharu kepada perkembangan sukan badminton tanah air.
Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara sebagai peneraju BAM dalam pemilihan yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 badan induk itu pada Sabtu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!