Nor Farah Ain bidik pentas Glasgow 2026

ATLET boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah kini membidik penampilan sulung di Sukan Komanwel Glasgow 2026, selepas dinobatkan Olahragawati Kebangsaan pada Selasa.
Nor Farah bagaimanapun mengakui misi itu bukan mudah memandangkan beliau perlu berebut tempat untuk beraksi di temasya sukan empat tahun sekali itu dengan senior lain.
“Sasaran terbesar saya adalah untuk beraksi di Sukan Komanwel 2026 namun saya perlu bertanding (rebut tempat) dengan senior saya dahulu,”katanya kepada pemberita selepas Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 pada Selasa.
Pemain nombor satu dunia itu muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan.
Beliau yang ketika ini sedang berehat susulan kecederaan bahu kanan berharap dapat kembali beraksi pada Hong Kong International Bowls Classic 2025 dijadualkan November ini.

Nor Farah menyifatkan gelaran itu sebagai pencapaian paling besar dalam kariernya dan berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Persekutuan Lawn Bowls Malaysia terutama presiden Datuk Awalan Abdul Aziz dan Majlis Sukan Negara atas sokongan padu selama ini.
Atlet itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh yang mewakili beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyifatkan pengiktirafan diterima bekas juara dunia 2022 itu sebagai perghormatan tertinggi buat sukan badminton tanah air.
Kenny berharap kejayaan mereka mampu melonjakkan motivasi bukan sahaja Aaron-Wooi Yik malah pemain lain untuk menghasilkan keputusan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Aaron-Wooi Yik tidak hadir kerana menyertai kejohanan Terbuka Thailand 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad.
Pasangan beregu itu yang kini berada di ranking kelima dunia mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada Paris 2024.
Sementara itu, Kenny mengunci mulut mengenai status terkini kontrak beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah bersama BAM, yang berakhir Disember lepas.
Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V Subramaniam pada Sabtu lepas memaklumkan sebarang keputusan berkaitan beregu itu akan ditentukan selepas selepas tamat kejohanan Terbuka Thailand 2025, bermula hari ini hingga Ahad.
SENARAI PENERIMA ANUGERAH SUKAN NEGARA (ASN) 2024
1. Olahragawan Kebangsaan
Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)
2. Olahragawati Kebangsaan
Nor Farah Ain Abdullah (boling padang)
3. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan
Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)
4. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan
Hasmunirah Maliki (para boling padang)
5. Pasukan Lelaki Kebangsaan
Sepak takraw
6. Pasukan Wanita Kebangsaan
Tenpin boling
7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan
Jamil Adam (powerlifting)
8. Jurulatih Wanita Kebangsaan
Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat)
9. Anugerah Tokoh Sukan
Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam
10. Anugerah Kepimpinan Sukan
1. Sunny Si Poh Heng (Persatuan Tenpin Boling Sarawak)
2. Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Persatuan Badminton Malaysia)
11. Anugerah Khas
1. Johor Motorsport Racing Team
2. Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia,
3. Allahyarham Datuk Hasbullah Awang
4. Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia
5. Selangor Red Giants (e-sukan)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!