Kegagalan rumah tangga bukan disebabkan faktor umur

Tiada fakta kukuh membuktikan perkahwinan muda akan berakhir dengan perceraian. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff
Tiada fakta kukuh membuktikan perkahwinan muda akan berakhir dengan perceraian. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada fakta kukuh membuktikan perkahwinan muda akan berakhir dengan perceraian, sebaliknya ramai pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia sedemikian terus bahagia meneruskan kehidupan masing-masing.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, kejayaan sesebuah perkahwinan bergantung kepada kecekalan pasangan dalam mengharungi cabaran dan persefahaman, selain ketentuan takdir ALLAH SWT.

“Oleh itu, masyarakat perlu saling menyokong dan pada masa sama menasihati anak-anak muda yang berkahwin awal supaya hidup dengan ilmu untuk lebih bahagia.

“Tidak wajar untuk kita meletakkan kegagalan rumah tangga pada faktor umur semata-mata, sedangkan ramai sahaja pasangan muda hidup bahagia,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mohd Izhar Ariff yang juga seorang pendakwah berkata, Islam tidak menetapkan had umur tertentu untuk seseorang itu bernikah, sebaliknya individu tersebut perlu kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan orang muda yang mempunyai kemampuan untuk segera berkahwin agar kehormatan diri, mata, kemaluan dan semua tingkah laku terus terjaga.

Bagaimanapun, beliau menasihati anak muda agar sentiasa bersemangat dan kerja keras demi memperbaiki kehidupan terutama selepas berkeluarga.

“Nasihat saya, kerja kuat mencari rezeki, jangan malu bertanya kepada pakar jika ada masalah. Banyakkan mengambil ilmu daripada orang yang berpengalaman supaya hidup lebih barakah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!