Tengku Zafrul Presiden BAM baharu

Tengku Zafrul (empat kanan) dan Norza (tiga kiri) bersama pucuk pimpinan BAM. Foto BAM
Tengku Zafrul (empat kanan) dan Norza (tiga kiri) bersama pucuk pimpinan BAM. Foto BAM
A
A
A

TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz secara rasmi diumumkan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu bagi sesi 2025–2029, sebentar tadi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu dilantik sebagai Presiden ke-13 BAM, menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang hampir sedekad menerajui badan induk sukan badminton negara tersebut.

Tengku Zafrul menang tanpa bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 BAM.

Beliau yang juga ahli politik dan tokoh korporat terkemuka negara menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar dan amanah yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab serta dedikasi.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah atas pelantikan ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Majlis atas kepercayaan serta mandat yang diberikan kepada saya untuk memimpin BAM sebagai Presiden baharu.

“Ia satu penghormatan besar dan amanah yang saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan komitmen.

“Saya percaya dengan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperkasa BAM sebagai badan sukan contoh, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Presiden, Datuk V. Subramaniam serta mantan presiden, Tan Sri Norza Zakaria, atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada pembangunan badminton negara.

“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Subramaniam atas pelantikan semula beliau sebagai Timbalan Presiden I, dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos Janarthanan sebagai Timbalan Presiden II.

Artikel Berkaitan:

“Bukan mudah untuk membawa BAM ke tahap sekarang, namun kehadiran ramai tokoh berwibawa ini memberi gambaran jelas bahawa kita semua berkongsi visi yang sama untuk melihat badminton Malaysia terus cemerlang di persada dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!