Rasuah percepat permohonan warganegara: Pengarah syarikat direman

Laporan Sinar Harian berkenaan rasuah percepat permohonan warganegara.
Laporan Sinar Harian berkenaan rasuah percepat permohonan warganegara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat kerana dipercayai terbabit rasuah mempercepatkan urusan permohonan warga asing untuk mendapatkan taraf warganegara Malaysia.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 4.55 petang Jumaat ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi proses merakam keterangan.

"Suspek disyaki bersekongkol bersama beberapa individu lain yang bertindak memberi rasuah antara RM1,000 hingga RM30,000 bagi setiap permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan kepada seorang pegawai sebuah jabatan sejak 2023.

"Bayaran rasuah ini bagi mempermudahkan permohonan warga asing mendapatkan taraf warganegara Malaysia tanpa perlu mengikuti prosedur sepatutnya," katanya pada Sabtu.

Sinar Harian difahamkan, perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad dikenakan terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Datin Kunasundary Marimuthu selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek susulan Op Fastlane 1.0 dan Op Outlander yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bermula 11 Mac lalu melibatkan sindiket merasuah pegawai kerajaan bagi mempercepat proses permohonan taraf kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!