Bekas mangsa kultus di London, Siti Aishah Wahab meninggal dunia

Siti Aishah Wahab
Siti Aishah Wahab
A
A
A

LONDON – Wanita Malaysia, Siti Aishah Wahab, yang pernah menjadi tajuk utama berita antarabangsa selepas melarikan diri daripada cengkaman penghambaan domestik selama 40 tahun oleh sebuah ajaran kumpulan ekstremis di London, meninggal dunia di Leeds, United Kingdom pada usia 81 tahun akibat penyakit limfoma.

Allahyarhamah Aishah, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, tiba di United Kingdom ketika berusia awal 20-an untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ukur bahan.

Namun, hidupnya berubah selepas terpengaruh dengan ketua kultus yang menggelar dirinya pemimpin Maois, Aravindan Balakrishnan, dan menghabiskan hampir empat dekad dikurung dalam sebuah komuniti rahsia di South London.

Kisah hidupnya disifatkan sebagai perhambaan moden apabila beliau dikawal sepenuhnya serta diasingkan daripada dunia luar termasuk keluarga dan rakan-rakan.

Selepas berjaya melepaskan diri, Aishah kembali membina kehidupan baharu di Leeds dan disatukan semula dengan adik-beradiknya di Malaysia. Dengan sokongan pihak berkuasa tempatan, beliau perlahan-lahan berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat serta mendapatkan semula kebebasan yang telah lama dinafikan.

Pada September tahun lalu, Aishah disahkan menghidap limfoma dan kanser tersebut merebak ke otaknya menjelang Mac lalu.

Beliau dimasukkan ke hospital sebelum dipindahkan ke Rumah Penjagaan Gledhow di Leeds, tempat beliau menghembuskan nafas terakhir pada 8 Mei lalu.

Meskipun pernah menjalani kehidupan penuh keterasingan, Aishah akhirnya berjaya menemui ketenangan dan harapan baharu.

Artikel Berkaitan:

Di Masjid Besar Leeds, beliau kembali mendekatkan diri kepada agama, menjalin persahabatan baharu serta mengukuhkan semula hubungan dengan keluarga.

Beliau turut menunaikan impian mengerjakan umrah, dan pada usia 79 tahun, mendaftar sebagai pelajar jurusan Pengajian Arab dan Islam di Universiti Leeds. Beliau berjaya memperoleh Diploma Pendidikan Tinggi dengan Kepujian dalam bidang Pengajian Arab dan Timur Tengah pada September tahun lalu.

Jenazah Aishah akan disolatkan di Masjid Besar Leeds sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim Whinmoor pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!