BAC, Terbuka Taiwan bukti pemulihan positif Tze Yong

Tze Yong
Tze Yong
A
A
A

PENGARAH kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menyifatkan Ng Tze Yong, menunjukkan peningkatan membanggakan dalam setiap kejohanan sejak kembali pulih kecederaan.

Malah, pengendali kelahiran Denmark itu menegaskan tidak meletakkan sebarang tekanan kepada pemain berusia 24 tahun berkenaan untuk kembali ke prestasi terbaik sebelum ini.

"Dia mempamerkan peningkatan yang kian ketara berbanding penampilan pertama sebelum ini, sesuatu yang amat positif pada ketika fasa ini.

"Saya percaya kita semua mahu dia kembali semula ke prestasi terbaiknya, tetapi sejujurnya perkara ini satu proses, dan seharusnya pada tahap ini kita wajar meraikannya.

"Paling penting pada ketika ini dalam setiap perlawanan dia mengambil segalanya sebagai proses membina semula keyakinan seiring dengan prestasi semasanya," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.

Sebagai rekod, cabaran Tze Yong dalam Terbuka Taiwan Super 300 terhenti selepas dijinakkan wakil tuan rumah, Wang Po Wei, dalam aksi tiga set 21-18, 18-21, 17-21.

Sebelum ini Tze Yong yang berehat setahun kembali ke gelanggang kompetitif dalam Kejuaraan Badminton Asia (BAC) dengan tewas kepada jagoan dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, 9-21, 12-21 dalam masa 44 minit.

Tegas Kenneth, fokus utama buat pemain dari Johor itu bukan untuk mencapai keputusan segera, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan kembali tahap kecergasan dan prestasi terbaiknya secara beransur-ansur.

Artikel Berkaitan:

“Saya melihat kembalinya dia di saingan BAC dan Terbuka Taiwan, merupakan satu perkembangan positif. Kami melihat pemulihannya sebagai satu proses jangka panjang.

“Kami mengambil pendekatan dari satu kejohanan ke satu kejohanan, belajar perkara baharu dan kembali menyesuaikan diri dengan rentak pertandingan.

"Apabila melihat dia beraksi dalam tiga set penuh kali ini di Terbuka Taiwan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!