Saifuddin Nasution sah tidak tanding Timbalan Presiden PKR - Pegawai khas

SHAH ALAM - Seorang pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan mencalonkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Saifuddin Nasution, Omar Mokhtar A Manap berkata, tokoh pemimpin PKR itu menyampaikan pesanan bahawa keputusannya tidak meneruskan pencalonan pada pemilihan PKR 2025 bagi sebarang jawatan telah diambil hasil perbincangan dengan ramai pihak termasuklah kepemimpinan utama parti.
Jelas Omar Mokhtar lagi, Saifuddin turut menyampaikan salam kepada semua rakan seperjuangan parti dan meminta semua ahli terus kukuh di atas landasan perjuangan, kerja kuat memperkukuh parti dan meletakkan dua perkara penting sebagai keutamaan.
"Dua perkara penting itu adalah keperluan menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta usaha mengangkat (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua, insya-ALLAH.
"Beliau (Saifuddin turut menyampaikan pesan terkait hal pemilihan, ketetapan diambil hasil perbincangan dengan ramai pihak termasuklah pimpinan utama PKR, beliau tidak meneruskan pencalonan pada pemilihan parti 2025 bagi sebarang jawatan," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengesahkan pencalonannya untuk mencabar penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan itu pada pemilihan kali ini.
Setakat laporan ini dikemas kini, nama mereka telah pun tersenarai dalam laman web pencalonan parti.
Nurul Izzah setakat ini paling banyak mendapat sokongan terbuka daripada pelbagai peringkat dan negeri.
Antara mereka termasuk orang kanan Anwar,Ketua Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Rafizi pula telah memulakan kempen pencalonannya menjelang pemilihan parti itu dengan mengembalikan program podcast yang ditukar nama daripada Yang Bakar Menteri kepada Yang Berhenti Menteri.
Menteri Ekonomi itu dan pasukannya turut juga turut melancarkan jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk) bermula Ahad ini.
Menerusi poster dikongsi pada hantaran di Facebook, pasukannya terdiri daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK dan Wanita berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!