Axia lawan arus terhimpit antara dua lori

Keadaan Perodua Axia dihimpit dua buah lori yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Iskandar Puteri. - Foto tular
Keadaan Perodua Axia dihimpit dua buah lori yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Iskandar Puteri. - Foto tular
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu secara melawan arus sejauh 500 meter terperangkap antara dua buah lori di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah–Ulu Choh, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu berusia 26 tahun itu tersalah masuk lorong ketika dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak berhampiran.

“Suspek telah memandu sejauh kira-kira 500 meter secara melawan arus sebelum melanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios dan seterusnya terperangkap antara dua buah lori.

“Lelaki itu, yang merupakan warganegara tempatan, telah tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan kedua-dua pemandu lori yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka terhadap laluan yang digunakan dan tidak mengambil jalan mudah yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 21 saat yang memaparkan insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!