Tak sempat naik bas ekspres sudah kena cekup

RANTAU PANJANG - Empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang menunggu untuk menaiki bas ekspres di Stesen Bas Rantau Panjang, di sini pada Rabu.
Kesemua suspek ditahan pada jam 8.40 malam menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan keluar masuk PATI terutamanya di kawasan sempadan.
Ujarnya, PGA akan meningkatkan kawalan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau kemasukan PATI kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

