Ombak Villa Langkawi perkenal SENJA, dewan acara pertama menghadap laut

OMBAK Villa Langkawi dengan bangganya memperkenalkan SENJA, dewan acara pertama di Langkawi yang menghadap laut serta permata terbaharu dalam landskap acara di pulau tersebut.
Dengan slogan "Celebrate Every Moment", SENJA direka dengan penekanan kepada kepelbagaian fungsi, kelestarian, dan keindahan alam semula jadi menjadikannya sebuah lokasi acara yang unik dan mengubah landskap acara destinasi di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, MK Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi, SENJA bukan sekadar sebuah lokasi acara, ia sebuah pengalaman.
“Daripada matahari terbenam yang memukau hinggalah kepada reka bentuk yang mesra alam, SENJA mencerminkan visi kami untuk merakam detik-detik bermakna di SENJA melalui penganjuran acara yang indah, penuh makna, dan bertanggungjawab terhadap seluruh ekosistem.

“Kami berbangga dapat berkongsi babak baharu Ombak Villa Langkawi ini bersama dunia,” katanya.
Terletak berhampiran laut, pemandangan panorama dari SENJA kekal sebagai tarikan paling memukau, menawarkan latar belakang yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ruang acara lain di Langkawi.
SENJA turut direka sebagai ruang acara serba boleh yang sesuai untuk kegunaan dalam dan luar bangunan.
Ia mampu menampung sehingga 400 tetamu di ruang dalam dan 300 tetamu di ruang luar, menjadikannya lokasi ideal untuk pelbagai jenis acara daripada persidangan korporat, pelancaran produk, graduasi, konsert mini hingga ke pelbagai sambutan penuh intim seperti majlis perkahwinan.
Pada masa sama, selaras dengan misi kelestarian Ombak Villa Langkawi, SENJA dibina dengan ciri-ciri reka bentuk yang mesra alam seperti pemasangan 24 panel solar, sistem tadahan air hujan, pengudaraan semula jadi, serta kaedah penyejukan pasif.
Panel kaca bersaiz besar digunakan untuk memaksimumkan pencahayaan semula jadi, manakala bahan binaan lestari digunakan secara menyeluruh.

Lebih penting lagi, sebanyak 33 pokok kelapa matang dipelihara di tapak asalnya sebagai sebahagian daripada komitmen SENJA terhadap pemuliharaan alam sekitar manakala lebih 100 pokok dan 3,000 pokok renek telah ditanam di sekitar kawasan lanskap SENJA.
Semua usaha ini menyokong aspirasi SENJA untuk memperoleh pensijilan Penarafan Perak daripada Green Real Estate (GreenRE), yang bakal menjadikannya ruang acara pertama di Malaysia dengan pengiktirafan tersebut.
Sebagai pelengkap kepada komitmen hijau resort, Daun & Akar turut menanam lebih 15 jenis herba, buah-buahan dan sayur-sayuran yang digunakan di pelbagai outlet makanan resort, sekaligus menyokong prinsip farm-to-table dengan bahan segar dan bebas bahan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
