Warga emas maut jatuh dalam tangki septik

PHITSANULOK, THAILAND – Seorang wanita warga emas maut selepas terjatuh ke dalam tangki septik di rumahnya dalam kejadian di Daerah Wang Thong, Thailand, pada petang Isnin.
Menurut media Khaosod, mangsa dikenali sebagai Sa-ing, 65, ditemui dalam keadaan terbalik dan sudah tidak bernyawa di dalam tangki yang terletak di tepi rumah satu tingkat miliknya.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.25 petang ketika mangsa keluar untuk mengambil kepingan mangga yang dijemur di luar rumah selepas cuaca mulai mendung.
Seorang pegawai penyiasat dari Balai Polis Wang Thong berkata, mangsa dipercayai terpijak penutup tangki septik yang sudah uzur sebelum ia pecah dan menyebabkan wanita itu terjatuh ke dalamnya.
“Ketika kejadian, dia tinggal seorang diri dan tidak dapat menyelamatkan diri atau mendapatkan bantuan.
“Mayatnya hanya ditemui kira-kira tiga jam kemudian oleh anak saudara yang pulang ke rumah dan tidak menerima sebarang maklum balas walaupun telah memanggil mangsa beberapa kali.
“Dia (anak saudara) kemudian melakukan pemeriksaan di sekitar rumah sebelum menemui mayat mangsa dalam tangki berkenaan lalu menghubungi pihak berkuasa,” katanya.
Polis dan pasukan penyelamat yang tiba di lokasi mengambil masa untuk mengangkat mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki najis sedalam kira-kira tiga meter.
Dalam pada itu, selepas berjaya membawa keluar mayat, pasukan penyelamat membasuh tubuh mangsa sebelum dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga jam sebelum ditemui.
Pihak polis memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian dan memastikan semua prosedur undang-undang dipatuhi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
