Pemandu van sekolah didakwa cuai, sebabkan kematian kanak-kanak

BATU PAHAT - Seorang pemandu van sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang tertinggal dalam kenderaan itu bulan lalu.
Tertuduh, Yau Chee Weng, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abd Karim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, didakwa meninggalkannya dalam sebuah van hingga menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh yang juga pesara di Taman Bukit Indah, Johor Bahru antara jam 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, 30 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama, iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Goh Toh Jen.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak mengganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Dalam kejadian pada 30 April lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah selepas dipercayai tertinggal dalam kenderaan itu selama hampir lima jam di Taman Bukit Indah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
Mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah dikatakan menaiki van dari kediaman keluarganya sebelum tiba di hadapan tadika sekitar jam 7.30 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

