Anggota SMART disyaki minta, terima suapan RM5,000 direman lima hari

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) disyaki meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM5,000.
Sumber berkata, wang suapan itu sebagai balasan memperakukan kerja-kerja pembekalan kayu masak bagi tujuan latihan 'shoring' tahun 2025.
"Suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu telah ditahan sekitar jam 11 malam pada Isnin di sebuah lokasi di Selangor.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar bulan Februari tahun ini dan disyaki menerima wang rasuah tersebut secara tunai berjumlah kira-kira RM5,000," katanya pada Selasa.
Sinar Harian difahamkan, perintah reman selama lima hari hingga Sabtu telah dikenakan ke atas suspek.
Perintah reman telah dikeluarkan Penolong Pendaftar, Aina Syakinah Aminuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.
Pihak SPRM Selangor mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
