AppBooks pacu pendigitalan pendidikan negara

SEMENYIH - Dunia pendidikan dan penerbitan negara melakar satu sejarah baharu dengan pelancaran AppBooks Sdn Bhd (AppBooks), sebuah syarikat tempatan yang beriltizam merevolusi bahan bercetak kepada bentuk digital interaktif.
Pelancaran itu sekali gus membuka peluang yang luas dalam memperkasa pengalaman pembelajaran digital, sejajar dengan perkembangan teknologi global. Berpusat di Shah Alam, AppBooks Sdn Bhd merupakan hasil kerjasama strategik antara tiga syarikat tempatan dan dua syarikat dari Korea Selatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AppBooks Sdn Bhd, Mohd Musyaffa’ Mohd Fadzin, platform ‘Appbook’ diwujudkan untuk memudahkan pembelajaran dalam talian, menyokong keperluan pelajar berkeperluan khas orang kurang upaya (OKU) dan memperkasa pembelajaran kendiri secara lebih efektif.
Beliau menekankan bahawa platform ini direka agar mudah diakses tanpa memerlukan kos perisian tambahan yang kompleks.
“Appbook direka untuk menyokong pembelajaran jarak jauh, memenuhi keperluan OKU dan memperkasa pembelajaran kendiri.

“Ia bukan sahaja mesra pengguna, tetapi juga mampu dimanfaatkan oleh guru, pelajar dan institusi pendidikan dengan lebih efi sien,” ujar beliau pada majlis perasmian AppBooks Sdn Bhd di Pustaka Nadwa, Semenyih di sini pada Isnin.
Majlis perasmiannya turut dihadiri delegasi dari tujuh institusi ternama Korea Selatan, termasuk Appmedia Inc., TSE Global, Incheon Startup Park, POSCO International, KSEED, Universiti SahmYook dan Universiti Sejong. Kehadiran mereka mencerminkan hubungan erat dalam usaha bersama memacu transformasi digital dalam sektor pendidikan.
Hadir sama dalam majlis ini adalah wakil agensi dan institusi pendidikan dari Malaysia seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Persatuan Pembangunan TVET Nasional, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Turut memberikan sokongan ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Rimbunan Ilmu Sdn Bhd, Global Mediastreet Sdn Bhd serta Kumpulan Media Karangkraf.
Sokongan yang diberikan jelas menunjukkan kesediaan pelbagai pihak dalam mengadaptasi pendekatan pendidikan digital yang lebih progresif.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pemeteraian perjanjian usaha sama antara kelima-lima syarikat terlibat, menandakan permulaan rasmi kolaborasi yang bakal memperluas pasaran penerbitan digital AppBooks di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Majlis menandatangani perjanjian ini melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif AppBooks Sdn Bhd, Mohd Musyaffa’ Mohd Fadzin, Pengarah Urusan Komeps Fintech Sdn Bhd, Mohd Sorihan Muhammad, Pengarah Alam Sinergi Teknik, Abd Lateb Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Appmedia Inc., Park Sunghun, Presiden TSE Global, Rho Soungryul dan Pengarah Urusan TSE Global, Mohd Norfaizal Mohd Norwawi.
Pelancaran Hayya Naqra’
Sebagai tanda komitmen terhadap inovasi pendidikan, AppBooks turut memperkenalkan buku digital pertama terbitan Pustaka Nadwa Sdn Bhd bertajuk Hayya Naqra’.
Buku ini merupakan hasil transformasi daripada versi cetak yang telah berada di pasaran sejak tahun 2017, kini diperbaharui dengan pendekatan pembelajaran interaktif dwibahasa dalam Bahasa Inggeris dan tulisan Jawi.
Menggabungkan elemen multimedia moden, Hayya Naqra’ dilengkapi pelbagai fungsi interaktif seperti Performance Tracker yang merekod skor dan prestasi pengguna, Smartboard dan Free Draw untuk aktiviti pembelajaran kreatif, serta fungsi rakaman dan ulangan audio bagi memperkasa pembelajaran kendiri.
Selain itu, pengguna turut boleh mengakses pelbagai permainan dan kuiz bagi meningkatkan motivasi dan penglibatan semasa belajar.
Pendekatan inovatif ini selari dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023, yang antara lain bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja fasih digital, malah mahir dalam penguasaan al-Quran serta berdaya saing di peringkat global.
Ruang kerjasama

AppBooks kini menawarkan tiga model perkhidmatan fleksibel bagi pendigitalan bahan cetak.
Pertama ialah model proof of concept untuk organisasi yang ingin mencuba pendekatan digital secara berskala kecil.
Kedua pula ialah model co-publish bagi rakan penerbit kandungan yang ingin membangunkan dan mengedarkan bahan digital bersama AppBooks dan ketiga ialah pendigitalan penuh, iaitu transformasi sepenuhnya koleksi bahan cetakan kepada format digital interaktif.
Bercita-cita untuk menjadi platform inklusif dan mampan, AppBooks mengorak langkah membina ekosistem digital yang menghubungkan penulis, penerbit, institusi pendidikan serta sektor pelancongan dalam satu jaringan kolaboratif yang saling menguntungkan.
Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, AppBooks membuka ruang kerjasama kepada pelabur, institusi dan rakan kongsi yang ingin meneroka potensi besar pendigitalan bahan pendidikan, bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

