Tech4All 2025: Petrosains gerakkan transformasi digital pendidikan luar bandar

BENTONG – Petrosains Sdn Bhd telah melancarkan program Petrosains Tech4All 2025 bagi memperkukuh kemahiran digital dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam kalangan komuniti sekolah Orang Asli serta peribumi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ezarisma Azni Mohamad berkata, seramai 88 orang guru dari sekolah Orang Asli dan peribumi telah menyertai program tersebut selama tiga hari dua malam dengan menggunakan pendekatan train-the-trainers.
Menurut beliau, para pendidik menjalani latihan intensif dalam bidang robotik, pengaturcaraan dan digital bagi meningkatkan kaedah pengajaran mereka serta merangsang minat pelajar terhadap STEM.
“Melalui Petrosains Tech4All 2025, kami bukan sekadar menawarkan latihan kemahiran, tetapi turut memacu perubahan lebih bermakna dalam pendidikan STEM untuk komuniti yang memerlukan.
“Program ini direka khas untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri guru-guru agar dapat menerokai potensi pelajar masing-masing.
“Matlamat kami ialah menjadikan para pendidik sebagai pemangkin perubahan yang akan membentuk generasi baharu yang berfikir secara kritis, menganalisis masalah dan membangunkan penyelesaian secara inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Petrosains Tech4All 2025 yang berlangsung di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Mengulas lanjut, Ezarisma Azni memaklumkan bahawa sejak diperkenalkan pada tahun 2024, Petrosains Tech4All telah memberi manfaat kepada 376 pelajar dari sembilan negeri, selain mendedahkan mereka kepada pembelajaran STEM secara praktikal.
Menurut beliau, program itu turut mencatatkan kejayaan membanggakan apabila pasukan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Layau, Johor; SK Sri Permai, Kelantan; dan SK Permatang Keledang, Pahang telah mewakili Malaysia dalam International Robot Olympiad ke-26 di Busan, Korea Selatan.
Tambah beliau, sebagai sebuah entiti impak sosial di bawah Petronas yang memperkasakan pendidikan STEM, Petrosains akan terus berusaha menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti yang adil dan saksama.
Ujarnya, inisiatif ini turut menyokong aspirasi pendidikan negara sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), khususnya melalui Inisiatif Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi yang menyumbang kepada matlamat Dasar Pendidikan Digital (DPD), dengan mengurangkan jurang digital serta mempercepatkan kesiapsiagaan sekolah luar bandar.
“Program Petrosains Tech4All 2025 mengukuhkan usaha ini dengan mengetengahkan prinsip kepelbagaian, inklusiviti dan impak jangka panjang khususnya kepada komuniti yang memerlukan.
“Pasukan dari SK Permatang Keledang telah merangkul pingat emas dalam kategori Innovation Robotics – satu pencapaian bersejarah yang mengharumkan nama negara.
“Melalui program STEM yang inklusif seperti Petrosains Tech4All, Petrosains terus menyemai rasa ingin tahu, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan memperkasakan generasi inovatif yang mampu menyelesaikan masalah dan membentuk masa depan Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
