Lelaki lemas motosikal terjatuh dari dermaga

KLANG - Seorang lelaki ditemukan lemas selepas motosikal dinaiki bersama rakannya dipercayai terjatuh dari dermaga akibat tergelincir dalam kejadian di Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN), Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.53 malam menyatakan terdapat dua orang mangsa terjatuh dari dermaga tersebut.
Beliau berkata, seorang mangsa berusia 30-an telah berjaya diselamatkan oleh orang ramai, manakala seorang mangsa hilang dan dikhuatiri lemas.

Kata beliau, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Pelabuhan Klang telah melakukan pencarian mangsa sehingga jam 7 malam pada Ahad, sebelum operasi menyelamat ditangguhkan.
"Komander operasi melaporkan mangsa telah berjaya dijumpai jam 8.17 pagi Isnin oleh anggota PPDA.
"Jarak mangsa dijumpai kira-kira 200 meter dari tempatnya terjatuh," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 29 tahun itu telah disahkan meninggal dunia.
Katanya, mangsa telah dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
