Caruman KWSP tujuh peratus mulai April hingga Disember 2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada tujuh peratus di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berkuatkuasa mulai upah pekerja April 2020 (caruman Mei 2020) sehingga upah pekerja Disember 2020 (caruman Januari 2021).

KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkara itu tertakluk kepada Jadual Ketiga Akta KWSP 1991 dan kadar caruman berkanun syer pekerja baharu itu adalah terpakai untuk pekerja berumur bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

"Kadar caruman berkanun untuk pekerja 60 tahun dan ke atas adalah kekal," menurut kenyataan itu.

Ahli boleh membuat pilihan untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2020) yang perlu dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing dan berkuatkuasa mulai bulan berikutnya.

Borang itu boleh dimuat turut melalui laman sesawang www.kwsp.gov.my pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengurangan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang diumumkan pada 27 Februari lalu bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global koronavirus (Covid-19). - Bernama

Artikel Berkaitan: