Langkawi bersedia sepenuhnya sambut LIMA '25 - Adly

GUA MUSANG - Penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA '25) menjadi pemacu kepada kemajuan dalam sistem pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia direalisasikan melalui kerjasama erat antara kerajaan dengan pihak swasta sama ada dari dalam atau luar negara.
"Kita (kerajaan) akan sedaya upaya bukan sahaja mempamerkan aset-aset pertahanan negara, pada masa sama kita boleh melihat pembangunan kepada industri tempatan (keselamatan)," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Veteran Desa MADANI di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Menurut beliau, persiapan untuk perjalanan LIMA '25 tahun ini sudah 100 peratus dan selesai sepenuhnya.
Ujarnya, buat masa ini kerajaan sedang melengkapkan aturan untuk memastikan LIMA '25 berjalan lancar.
Adly memberitahu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian akan ditandatangani berkaitan dengan aset-aset pertahanan negara sama ada darat, laut dan udara.
Kata beliau, perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Pertahanan nanti.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, LIMA '25 akan dianjurkan pada 20 hingga 24 Mei ini di pulau peranginan Langkawi, Kedah yang bertemakan Innovate Today, Thrive Tomorrow.
Pameran itu turut mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

