PBT kena segera tubuh unit integriti - Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera menubuhkan unit integriti tanpa menunggu sehingga tarikh akhir ditetapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika organisasi berkenaan prihatin dalam soal kredibiliti dan ketelusan melaksanakan amanah.
Ahli Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan, arahan dikeluarkan SPRM yang mewajibkan setiap PBT menubuhkan Unit Integriti perlu disambut baik oleh semua pihak.
"Langkah itu adalah amat wajar bagi mempertingkatkan tahap integriti setiap PBT yang beroperasi untuk kepentingan awam.
"Inisiatif tersebut perlu diberikan penekanan teliti oleh setiap PBT supaya Unit Integriti itu dapat dipersiapkan secepat mungkin sebelum 31 Ogos 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, penubuhan unit integriti adalah amat wajar memandangkan isu integriti kerap berbangkit, khususnya daripada orang ramai yang sering membuat aduan berkaitan perkhidmatan diterima daripada PBT.
Sebelum ini, SPRM dilapor mewajibkan setiap PBT menubuhkan unit integriti selewat-lewatnya 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.
SPRM memaklumkan, sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung (LO) di PBT kini dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan bukan lagi kepada yang dipertua.
Dalam pada itu, tambah Lam Thye, kewujudan unit integriti terbabit adalah bukti komitmen PBT untuk menyampaikan khidmat secara telus dan berintegriti.
"Integriti adalah nilai paling penting dalam menguruskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita semua.
"Pengukuhan nilai integriti dalam organisasi seperti PBT mampu membentuk pentadbiran yang lebih telus dan jujur dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” tambah beliau.
Lam Thye menegaskan, penubuhan unit integriti di setiap PBT juga mampu menjadi inisiatif bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan kerajaan dan memberi nilai tambah kepada organisasi.
"Ia juga mampu memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap pelbagai agensi kerajaan,” jelasnya.
Katanya lagi, langkah tersebut turut menyampaikan mesej jelas bahawa kerajaan komited memastikan tiada berlaku penyelewengan, penyalahgunaan dan ketirisan ketika PBT menjalankan amanah yang diberikan kepada organisasi mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap unit terbabit ditubuhkan segera di setiap PBT, sekali gus membolehkan pihak berkuasa itu dapat memulakan tugas mereka dengan baik dan memperkasa nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

