Senat AS tolak cadangan sekat tarif Trump

WASHINGTON - Senat Amerika Syarikat (AS) menolak cadangan untuk menyekat tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump di tengah-tengah kebimbangan banyak pihak mengenai impak besarnya terhadap ekonomi dunia.
Dewan tinggi Kongres itu mengundi 49-49 untuk mengetepikan resolusi tersebut pada Rabu, beberapa jam selepas data kerajaan menunjukkan ekonomi Washington menguncup sebanyak 0.3 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama 2025.
Ia merupakan penurunan pertama sejak suku pertama 2022 dan bukti ketara pertama impak perang tarif Trump setelah pakar ekonomi memberi amaran pelaksanaan levi itu akan membawa kepada kenaikan harga pengguna dan kemungkinan berlaku kemelesetan.
Difahamkan, hanya tiga anggota Parti Republikan berpihak kepada Parti Demokrat untuk proses undian tersebut.
Resolusi itu bertujuan untuk menamatkan darurat negara yang diisytiharkan Trump sebagai alasan untuk mengenakan tarif global sebanyak 10 peratus dan kadar cukai timbal paling tinggi ke atas 57 rakan dagangan Amerika termasuk Kesatuan Eropah (EU).
Pada minggu lalu, Rumah Putih mengancam mahu memveto resolusi terbaharu itu yang didakwa akan menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

