Tun Ramli angkat sumpah TYT Pulau Pinang ke-9

GEORGE TOWN – Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-9 dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, di sini pada Khamis.
Istiadat angkat sumpah itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Long dan disaksikan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang serta Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rozana Ali Yusoff.
Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo serta barisan pimpinan negeri.
Ramli sebelum itu tiba di Dewan Sri Pinang bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada jam 8.30 pagi.

Majlis istiadat tersebut dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan yang diketuai Mejar Mohd Salleh Jamal melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum Ramli diarak masuk ke dewan.
Ramli turut menandatangani surat sumpah jawatan dalam majlis berkenaan yang disaksikan oleh Rozana dan Zulkifli.
Dalam majlis sama, Ramli telah dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Majlis angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja.
Ramli, 84, dilantik sebagai TYT Pulau Pinang ke-9 bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selepas memegang jawatan itu selama satu penggal iaitu pada Mei 2021.
Pelantikan Ramli berkuat kuasa selama empat tahun iaitu bermula 1 Mei 2025 sehingga Mei 2029.
Ramli berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak ke-8 dari 1983 hingga 1999.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah dari 1978 hingga 1999, sebelum menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dari 1999 hingga 2008.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, beliau bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN, Ahli Parlimen, barisan kepimpinan dari pelbagai peringkat serta seluruh rakyat Pulau Pinang memperbaharui ikrar taat setia kepada kepimpinan Ramli.
"Pelantikan Tun sebagai Ketua Negeri Pulau Pinang yang ke-9 merupakan satu anugerah yang amat besar maknanya buat seluruh rakyat negeri ini.
"Tun memiliki rekod perkhidmatan yang amat cemerlang, termasuk pernah menerajui Perak Darul Ridzuan sebagai Menteri Besar selama hampir 17 tahun serta menyumbangkan khidmat bakti di peringkat Persekutuan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat selama lebih tiga tahun," katanya.
Tambah Kon Yeow, keperibadian dan kepimpinan Ramli menjulang martabat seorang negarawan sejati, tokoh berwibawa yang cukup disegani dalam lipatan sejarah pemerintahan negara.
"Saya yakin, di bawah naungan kepimpinan dan kebijaksanaan Tun, Pulau Pinang akan terus bersinar, dipandu oleh ilham serta semangat baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang, sejahtera dan makmur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!