Peserta ekspedisi terperangkap dalam hutan

Saifuddin turut memuat naik gambar beberapa buah motosikal kelihatan seperti terkandas di dalam hutan bersama kenyataan itu di laman Facebooknya
Saifuddin turut memuat naik gambar beberapa buah motosikal kelihatan seperti terkandas di dalam hutan bersama kenyataan itu di laman Facebooknya
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai khususnya peserta ekspedisi sukan lasak disaran agar lebih berhati-hati dalam merancang aktiviti di kawasan jauh dari komuniti, terutama ketika cuaca tidak menentu yang boleh menjejaskan keselamatan peserta.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shari Muhammad, penganjur ekspedisi dan pengusaha resort perlu meletakkan faktor keselamatan sebagai keutamaan berbanding hanya mengejar pengalaman menarik semata-mata.

"Pesan saya, dalam cuaca seperti ini, sebaiknya kurangkan aktiviti ekstrem jauh dari komuniti. Pemilik resort dan penganjur ekspedisi juga perlu lebih peka dan keselamatan harus diutamakan, bukan hanya pengalaman," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau yang juga Pegawai Penyalaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata demikian susulan insiden kehilangan sekumpulan individu di sebuah hutan berhampiran Serendah, dalam kawasan DUN Batang Kali kelmarin.

Beliau berkongsi perkara itu berkata, ketika sibuk bertugas di Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Shah Alam, beliau menerima panggilan mengejutkan mengenai sekumpulan individu yang dilaporkan hilang setelah memasuki hutan sejak pagi dan masih belum keluar sehingga malam.

"Gerak pantas pasukan termasuk pegawai khas saya, saudara Firdaus juga merupakan bekas Pengerusi Kelab Bomba Sukarela Batang Kali, membolehkan tindakan awal diambil dengan memaklumkan pihak berkuasa.

"Namun, operasi mencari terpaksa ditangguhkan ke pagi esok berikutan cabaran malam yang gelap dan medan yang sukar.

"Dalam masa sama, penduduk Kampung Orang Asal Ulu Melaka yang diketuai Mei Yee turut digerakkan dan berjaya menggerakkan usaha mencari menggunakan pengetahuan tempatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kumpulan yang hilang akhirnya ditemui selamat walaupun keletihan selepas laluan asal mereka terhalang akibat pokok tumbang.

“Syukur, tiada yang lebih serius berlaku. Tetapi jika lewat sedikit? Kita tahu alam tidak menentu, hujan, gelap dan binatang liar, segalanya boleh terjadi,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk kampung Orang Asal yang bertindak pantas dan menunjukkan semangat gotong-royong yang tinggi.

“Anda semua bukti bahawa semangat gotong-royong dan kebersamaan adalah kekuatan sebenar kita. Kerana kita saling memerlukan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!