Penutupan kilang Continental: Kedah bantu pekerja terjejas

Haim Hilman Abdullah.
Haim Hilman Abdullah.
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengambil langkah proaktif membantu 950 pekerja yang bakal terjejas susulan penutupan kilang Continental di Alor Setar yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Exco Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Haim Hilman Abdullah berkata, antara inisiatif yang dirangka termasuk menempatkan pekerja berkemahiran dalam industri lain yang beroperasi di negeri ini menerusi kerjasama strategik.

Menurutnya, inisiatif tersebut akan diselaraskan melalui Pusat Pembangunan Bakat Kedah (Kedah Talent Development Center, KTDC) di bawah Invest Kedah, yang akan menjadi penghubung antara tenaga kerja dan pihak industri.

“Kita telah mohon pihak kilang mengemukakan senarai nama pekerja serta kemahiran dan pengalaman mereka. Maklumat ini akan digunakan untuk berhubung dengan Persatuan Penyewa Industri Kulim (Kulim Industrial Tenant Association), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan syarikat berkaitan bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Haim Hilman berkata, pihak syarikat turut memberi komitmen untuk menyalurkan dana sedia ada kepada pembangunan kemahiran serta padanan semula pekerja bagi kemasukan ke sektor lain.

“Keputusan penutupan dimaklumkan sebagai langkah strategik oleh syarikat induk yang berpangkalan di Hannover, Jerman.

“Pihak pengurusan kilang menjelaskan kepada saya bahawa ia merupakan penyusunan semula operasi global berikutan persaingan pasaran yang semakin sengit. Kilang ini membekalkan kira-kira 70 peratus pengeluaran tayar untuk pasaran tempatan dan mereka akan mengalihkan operasi ke kilang terdekat di Rayong, Thailand,” katanya.

Menurutnya lagi, kilang yang telah beroperasi selama 46 tahun itu turut menyusun skim pampasan terbaik, termasuk bonus dan insentif tambahan bagi memastikan kebajikan 750 pekerja teknikal dan 200 kakitangan pengurusan terbela sehingga penutupan operasi.

Artikel Berkaitan:

Haim Hilman memaklumkan, sebuah syarikat tayar baharu dijangka melabur di Kedah Rubber City (KRC) dan pihaknya telah mencadangkan agar pekerja Continental dapat diserap masuk ke dalam syarikat berkenaan.

“Kita juga telah mengemukakan cadangan supaya syarikat tersebut mempertimbangkan untuk mengambil alih operasi Continental di Alor Setar, sekiranya berminat.

“Mungkin sebelum ini mereka tidak mengetahui akan ada sebuah kilang yang akan menghentikan operasi, jadi kita telah maklumkan perkara ini dan mereka boleh berbincang lanjut,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan insentif khas kepada syarikat yang telah lama beroperasi di Malaysia bagi membantu mereka kekal dalam pasaran tempatan.

“Biasanya insentif diberikan kepada pelabur baharu, namun syarikat sedia ada seperti Continental yang sudah 46 tahun beroperasi juga patut diberi pertimbangan, lebih-lebih lagi dengan jumlah pekerjaan yang mereka sediakan dan sumbangan kepada KDNK negeri dan negara.

“Contohnya, insentif seperti pengecualian cukai boleh dipertimbangkan pada saat kritikal. Amat merugikan apabila Kerajaan Pusat yang mempunyai kuasa untuk melakukannya tidak mengambil peluang agar syarikat-syarikat besar ini tidak meninggalkan negara kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!