Pahang catat peningkatan SPM 2019

Tajuddin (tengah) bersama calon-calon SPM 2019 cemerlang di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Jerantut di sini hari ini sempena pengumuman keputusan SPM 2019 Peringkat Negeri yang menyaksikan sekolah tersebut muncul sekolah terbaik harian peringkat negeri.
Tajuddin (tengah) bersama calon-calon SPM 2019 cemerlang di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Jerantut di sini hari ini sempena pengumuman keputusan SPM 2019 Peringkat Negeri yang menyaksikan sekolah tersebut muncul sekolah terbaik harian peringkat negeri.
A
A
A

JERANTUT - Pahang mencatatkan peningkatan dengan lima calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 mendapat semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding tiga calon untuk 2018.

Calon tersebut terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib iaitu M Muthu Subramaniam yang mencatatkan 9A+, Lim Kang Xuan dari SMK Air Putih (11A+), Choo Zhi Ying dari SMK Rompin (10A+), Wan Elisa Sofea Wan Sarif dari SMK Sains Tengku Abdullah, Raub (9A+) dan calon SMK Chung Ching, Raub iaitu Wai Kar Men yang meraih (10A+).

Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, seramai 260 calon di negeri itu mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan berbanding 238 calon pada tahun 2018.

"Dari segi Gred Purata Negeri (GPN), pencapaian calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 mata iaitu dari 4.73 mata pada tahun 2018 kepada 4.71 mata tahun lalu.

"Bagi kategori Layak Mendapat Sijil (LMS) pencapaian calon menunjukkan penurunan iaitu daripada 88.34 peratus (2018) kepada 87.92 peratus (2019) namun LMS bagi 38 sekolah mencapai 100 peratus bersamaan 19.79 peratus," katanya.

Tajuddin (dua dari kiri) menyampaikan plak dan cenderamata kepada calon SPM cemerlang SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Eusouf Faisal Salehuddin,18 yang mencatatkan 7A+, 4A.
Tajuddin (dua dari kiri) menyampaikan plak dan cenderamata kepada calon SPM cemerlang SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Eusouf Faisal Salehuddin,18 yang mencatatkan 7A+, 4A.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika mengumumkan keputusan rasmi SPM 2019 di SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Jerantut di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin memberitahu, sebanyak sepuluh sekolah mencapai prestasi tertinggi dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Temerloh (1.99), Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Shah, Kuantan (2.07), SM Tengku Abdullah,Raub (2.08), SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan,Jerantut (2.14), SMA Persekutuan Bentong, (2.22), SBPI Kuantan (2.42), SMK Sulaiman, Bentong (2.43), Sekolah Sultan Ahmad Shah, Pekan (2.49), SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan(2.51) dan SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan (2.55).

"SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan muncul sebagai sekolah menengah harian terbaik bagi negeri ini dengan 10 calon meraih semua A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diambil meletakkan ia dalam kelompok teratas sekolah terbaik Pahang bersama sekolah berasrama penuh.

"Bagi pencapaian khas untuk sekolah bukan bantuan kerajaan terbaik,Maahad Tahfiz Negeri Pahang Tanjung Lumpur, Kuantan di bawah kendalian Yayasan Pahang muncul sekolah terbaik dari segi GPS (1.51) dengan 11 calon mendapat A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran.

"Dalam pada itu, seramai 89 Calon Berkeperluan Khas (CBK) dalam pelbagai jenis keistimewaan telah menduduki peperiksaan dan dari jumlah tersebut, seramai lapan calon mendapat keputusan cemerlang," jelasnya.

Ujarnya, lapan calon itu membabitkan tiga pelajar yang mengalami masalah rabun iaitu Kong Yin Ying dari SMK Tanah Putih, Kuantan; Nurul Qurratun'Ain Sidek (SMK Temin, Jerantut) dan Nur Fatin Izni Mohd Zakaria (SMK Seri Jengka).

Tiga calon bagi kategori kurang upaya fizikal yang cemerlang ialah Rusyamimie Badrol Sham (SMK Seri Bentong), Muhammad Afiq Farhan Mohd Faizol (SMK Abdul Rahman Talib), Ahmad Aqil Ahmad Helmy (SMK Ahmad), Ngui Kai Yuan(SMK Jerantut) dan kategori kurang upaya pelbagai,Amirah Mohamed Sufian (SMK Sultan Abu Bakar).

Sementara itu, beliau juga menjelaskan sebanyak 36 mata pelajaran menunjukkan peningkatan manakala 24 lagi mencatatkan penurunan

"Tiga mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan iaitu Bahasa Melayu dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) meningkat dari 3.97 ke 3.94,Bahasa Inggeris(6.36 ke 6.21) dan Pendidikan Moral (4.98 ke 4.78).

"Secara keseluruhannya, keputusan SPM 2019 bagi calon sekolah di Pahang telah menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat memberangsangkan.

"Kecemerlangan calon SPM Pahang menunjukkan momentum berterusan berdasarkan peningkatan GPN bermula 2015 dengan GPN 4.94 sehingga GPN, 4.71 untuk tahun lalu," katanya.

Seramai 17,757 calon sekolah telah mendaftar SPM 2019 dengan 66 mata pelajaran ditawarkan dan 192 pusat peperiksaan disediakan.

Tajuddin (tengah) dalam sidang media sempena pengumuman keputusan rasmi SPM 2019 Peringkat Negeri Pahang di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Jerantut hari ini
Tajuddin (tengah) dalam sidang media sempena pengumuman keputusan rasmi SPM 2019 Peringkat Negeri Pahang di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Jerantut hari ini