Separuh akhir UEFA: PSG calar impian Arsenal di Emirates

Arteta ketika menyaksikan aksi anak buahnya menentang PSG di London pada Rabu. - Foto: Agensi
Arteta ketika menyaksikan aksi anak buahnya menentang PSG di London pada Rabu. - Foto: Agensi
A
A
A

HARAPAN Arsenal untuk mara ke final Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun menerima tamparan hebat apabila tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Emirates, awal pagi Khamis.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Ousmane Dembele seawal minit ke-4 hasil serangan balas pantas yang mengejutkan pasukan tuan rumah.

PSG mempamerkan permainan berkualiti tinggi dengan disiplin taktikal yang jelas, memberi mereka bekalan penting menjelang aksi timbal balik di Parc des Princes minggu depan.

Bekas penyerang England, Alan Shearer, mengakui keunggulan PSG pada malam tersebut.

“PSG bermain lebih baik dan saya yakin penyokong Arsenal menyedarinya,” katanya.

Bekas pertahanan Arsenal, Matthew Upson, pula menyifatkan gol awal PSG memberi tekanan besar kepada tuan rumah.

“Gol tersebut mengganggu rentak Arsenal, dan PSG menguasai sepenuhnya babak pertama,” katanya sambil menggambarkan suasana di stadium sebagai 'hambar'.

Nada kecewa turut dilontarkan Wayne Rooney, bekas penyerang Manchester United.

Artikel Berkaitan:

“PSG patut menang dengan dua atau tiga gol. Persembahan Arsenal dan penyokong mereka sangat mengecewakan – seperti mereka sudah layak ke final,” katanya sinis.

Bekas bintang AC Milan, Clarence Seedorf, pula mempersoalkan ketahanan mental skuad kendalian Mikel Arteta.

“Jika Arsenal mahu jadi juara sebenar, mereka perlu ubah mentaliti. PSG bermain dengan tekanan tinggi – itulah yang sepatutnya dilakukan Arsenal,” tegasnya.

Kekalahan ini meletakkan Arsenal dalam kedudukan sukar untuk aksi timbal balik di Paris. The Gunners perlu memperbaiki corak permainan dan mempamerkan mentaliti juara jika mahu melakar kebangkitan bersejarah ke pentas final Eropah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!