Cubaan samun: Polis nafi suspek cuba rogol, kelar mangsa

MELAKA - Polis berjaya mencekup seorang lelaki disyaki terlibat dalam cubaan menyamun seorang wanita di sebuah kediaman di Semabok pads Khamis lalu seperti yang tular sejak Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bagaimanapun pihaknya menafikan suspek berusia 43 tahun yang gambarnya tular memakai baju berwarna kuning melakukan cubaan rogol dan mengelar leher mangsa sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, siasatan polis mendapati kandungan yang tular di aplikasi Whatsapp mendakwa suspek terlibat dalam kes cubaan rogol, kelar leher mangsa wanita dan mencederakan anak berusia tiga tahun adalah tidak benar.
"Sedangkan itu tidak berlaku dan polis hanya menerima laporan dari seorang suri rumah berusia 26 tahun, cuba disamun suspek sama yang tidak dikenali di kediamannya di Taman Kasturi, Semabok.
"Susulan laporan itu sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Morten, Melaka jam 7 petang Selasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, dalam serbuan itu polis turut merampas satu persalinan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai empat rekod jenayah serta tiga kesalahan dadah lampau.
"Kita akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret dan kes disiasatmengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan samun," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita atau maklumat tidak tepat sehingga boleh mengelirukan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sejak Selasa tular di WhatsApp mengenai suspek yang didakwa terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan cuba merogol selain mangsa dikatakan telah ditumbuk dan dikelar lehernya oleh suspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

