Anne Hathaway sokong Arsenal

PELAKON terkenal Hollywood, Anne Hathaway – yang popular menerusi filem-filem seperti The Devil Wears Prada dan The Dark Knight Rises – baru-baru ini mengejutkan penyokong bola sepak apabila mendedahkan dirinya sebagai penyokong setia kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Hathaway aktif berkongsi video di platform TikTok, termasuk menyanyikan lagu rasmi penyokong Arsenal, North London Forever.
Tindakan itu sekali gus memperlihatkan sokongan padu pelakon jelita tersebut terhadap kelab dari London Utara berkenaan.
Menariknya, kesetiaan terhadap Arsenal bukan hanya terhad kepada dirinya, malah turut dikongsi oleh ahli keluarganya.
Pendedahan tersebut tular selepas beliau dilihat menyanyikan lagu penyokong Arsenal ketika kemenangan 3-0 ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara.
Walaupun tidak dapat dipastikan sejak bila Hathaway mula menyokong The Gunners kendalian Mikel Arteta itu, terdapat bukti yang menunjukkan minat beliau terhadap kelab tersebut telah bermula lebih setahun lalu.
Pada April lalu, dalam satu temu bual promosi bagi filem terbarunya The Idea of You, Hathaway dilihat menonton dan meraikan jaringan gol bersama rakan pelakon, Nicholas Galitzine, yang juga merupakan penyokong Arsenal.
“Satu kosong, Trossard!” ujar Galitzine, disusuli dengan kata-kata Hathaway, “Oh, saya sayang awak,” sebelum beliau menambah, “Maaf, kami berdua menyokong pasukan yang sama dan sedang menonton perlawanan ketika ini.”
Sebagai rekod, gol yang diraikan mereka ialah jaringan Leandro Trossard ketika Arsenal menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 pada 20 April lalu.
Susulan itu, Trossard telah mengirimkan mesej kepada Hathaway berbunyi, “Teruskan menyokong dan semoga kita dapat bertemu di Stadium Emirates.”
Sokongan Hathaway jelas semakin kukuh, terutamanya apabila Arsenal mara separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Arsenal dijadualkan berdepan gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Emirates pada Rabu.
Baru-baru ini, beliau turut memuat naik gambar dirinya memakai jersi Arsenal di laman Instagram selepas kemenangan 2-1 ke atas Fulham, sambil menyatakan kegembiraannya terhadap kepulangan semula Bukayo Saka daripada kecederaan hamstring.
Gambar tersebut disertai kapsyen, “Selamat kembali #7.”
INFO
LIGA JUARA-JUARA
SEPARUH AKHIR PERTAMA
RABU (30 APRIL)
Arsenal lwn Paris Saint-Germain
(Stdm Emirates, 3 pagi)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
