Imam muda maut dalam nahas

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang juga imam di sebuah masjid universiti di sini maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Mahkamah Syariah, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Muhammad Nur Hilmi Hermanto, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 30-an dengan motosikal yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut datang dari arah Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan hendak menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Likas.
"Sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba motosikal yang juga datang dari arah sama telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang tepi sebelah kanan kereta tersebut.
"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala pemandu pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kasim dalam pada itu turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati ketika berada di jalan raya.
"Sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas dan pastikan pemanduan dalam jarak yang selamat di antara kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
