Eco-Shop lancar IPO terbesar Malaysia dalam tempoh lapan bulan

Jessica (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat melancarkan ‘IPO Perspectus Eco-Shop’ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Jessica (tiga dari kanan) bersama tetamu kehormat melancarkan ‘IPO Perspectus Eco-Shop’ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

ECO-Shop Marketing Bhd telah melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia dalam tempoh lapan bulan, dengan sasaran untuk mengumpul RM419.87 juta menerusi terbitan 347 juta saham baharu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Bahagian runcit IPO menawarkan kira-kira 187 juta saham baharu pada harga RM1.21 sesaham dengan secara keseluruhan. IPO tersebut melibatkan sekitar 862 juta saham termasuk 515 juta saham sedia ada untuk dijual.

Sekitar 675 juta saham baharu dan sedia ada akan diperuntukkan kepada pelabur institusi serta terpilih termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan harga ditentukan melalui kaedah runding niaga.

Eco-Shop telah memperoleh komitmen daripada 10 pelabur yang secara kolektif melanggan 90.91 juta saham, mewakili 90.31 peratus daripada tawaran institusi.

Pelabur tersebut ialah AHAM Asset Management, Albizia Capital Pte Ltd, Areca Capital Sdn Bhd, Eastspring Investments Bhd, Kairous Equity Sdn Bhd, Kenanga Investors Bhd, Kenanga Islamic Investors Bhd, Lion Global Investors Ltd, RHB Asset Management Sdn Bhd dan RHB Islamic International Asset Management Bhd.

Jessica semasa Majlis Pelancaran ‘IPO Perspectus Eco-Shop’ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Jessica semasa Majlis Pelancaran ‘IPO Perspectus Eco-Shop’ pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, prospektus itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk menyediakan produk berkualiti kepada semua rakyat Malaysia.

"Ia melambangkan janji kami untuk mengekalkan kemampuan harga sebagai keutamaan tanpa mengorbankan inovasi diharapkan dan layak diterima oleh pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Permohonan bagi bahagian runcit akan ditutup pada 7 Mei dan syarikat dijangka disenaraikan pada 23 Mei. Pada harga runcit IPO, Eco-Shop bakal disenaraikan dengan modal pasaran sebanyak RM7 bilion.

Tempoh pemilihan pesanan untuk bahagian institusi akan berakhir pada 8 Mei dan harga IPO akan dimuktamadkan pada 9 Mei.

Harga akhir akan ditentukan sama ada harga runcit RM1.21 sesaham atau harga institusi mengikut mana yang lebih rendah.

Terbitan awam dan tawaran jualan itu merupakan yang terbesar sejak IPO RM2.36 bilion oleh 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (KL:99SMART) pada Ogos 2024.

Eco-Shop merancang menggunakan hasil IPO seperti berikut; RM200 juta (47.6 peratus) untuk memperluas pusat pengedaran; RM100 juta (23.8 peratus) untuk membayar balik pinjaman bank; RM56.27 juta (13.4 peratus) bagi memperluas rangkaian kedai runcit; RM52.70 juta (12.6 peratus) bagi modal kerja dan kos berkaitan IPO serta RM10.90 juta (2.6 peratus) untuk pelaburan dalam teknologi maklumat.

Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, ejen pembukuan bersama dan penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut.

UBS Securities Malaysia Sdn Bhd dan UBS AG Cawangan Singapura turut bertindak sebagai penyelaras global serta ejen pembukuan bersama, manakala RHB Investment Bank turut terlibat sebagai ejen pembukuan bersama.

Ditubuhkan pada 2003 di Johor, Eco-Shop kini mengendalikan 358 cawangan di seluruh negara setakat 31 Mac 2025, termasuk 22 cawangan Eco-Plus.

Rangkaian ini menawarkan lebih 10,000 produk termasuk jenama pihak ketiga dan jenama dalaman, terdiri daripada barangan keperluan harian hingga kelengkapan rumah, kebanyakannya dijual pada harga RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Sabah, Sarawak dan Langkawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!