'Ingat kereta baharu, rupanya beli kereta sendiri yang pernah dicuri'

LONDON - Seorang lelaki terkejut apabila kereta baharu yang dibeli rupanya kereta miliknya yang hilang dicuri kira-kira dua bulan lalu.
Ewan Valentine, 36, menyedari perkara itu selepas membeli sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dengan harga 20,000 pound sterling (RM116,474).
Menurut jurutera perisian itu, dia mendapati kereta 'baharu' yang dibeli itu sebenarnya kereta yang hilang dari halaman rumahnya pada Februari lalu.
Menceritakan kejadian tersebut, Ewan memberitahu BBC bahawa dia amat kecewa dengan kehilangan kereta kesayangannya dan bertekad untuk mendapatkan semula kereta model sama.
"Ia kereta impian saya, bukan mudah nak cari model ini adi saya berazam untuk cari model sama sebagai pengganti.
"Saya jumpa satu kereta (jenis) sama, warna, model tahun (buatan) sama, malah sistem ekzosnya juga seperti kereta saya dulu," katanya.
Namun Ewan mula mengesyaki sesuatu apabila menemukan beberapa barang di dalam kereta berkenaan seperti sebatang pasak khemah, cebisan pokok Krismas dan pembalut coklat yang tidak dibersihkan.
Malah menurutnya, walaupun kereta itu mempunyai nombor pendaftaran baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, dia turut menemukan alamat rumah ibu bapanya dalam sejarah sistem navigasi terbina dalam kenderaan itu.
"Semuanya sangat serupa dengan apa yang ada dalam kereta saya yang hilang dahulu.
"Saya hampir kemalangan kerana terlalu terkejut. Tangan saya menggeletar, jantung berdegup laju.
"Saya rasa seperti mendapat kemenangan sekejap, macam rasa hebat sebab dapat semula kereta. Tetapi lepas fikir balik, sebenarnya saya dah buat sesuatu yang agak bodoh," katanya.
Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!