Pengamal media TH sertai ziarah luar Madinah

MADINAH - Seramai 19 petugas media Tabung Haji (TH) bagi tahun 1446H/2025M termasuk 14 pengamal media diberi kesempatan mengikuti lawatan ziarah luar Madinah di Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan Jabal Uhud.
Rata-rata mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di Tanah Suci berasa teruja kerana diberi peluang menyelami perasaan jemaah haji apabila mengunjungi lokasi bersejarah itu.
Pembimbing Ibadat Haji TH, Kamarudin Abd Hamid berkata, ziarah sedemikian penting berikutan media merupakan platform terbaik dalam menyampaikan dakwah serta ilmu mengenai agama Islam terutama berhubung sirah perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Islam di kota Madinah.

"Kita akan mendedahkan persekitaran yang bersejarah untuk pengetahuan pengamal media yang bersama kita (TH) dan boleh diuar-uarkan kepada orang awam melalui alat yang canggih dan seumpamanya," katanya ketika ditemui pemberita.
Penolong Pengarang Berita Kosmo, Mohd Firdaus Hassan berkata, lawatan ziarah disertai menimbulkan rasa keinsafan selepas mendengar kisah Nabi Muhammad SAW.
"Melihat sendiri tempat bersejarah ini membuatkan saya lebih memahami pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat.
"Selain hasrat datang ke sini untuk berkhidmat sebagai petugas media, lawatan ziarah luar dapat menambahkan pengetahuan mengenai kisah-kisah nabi," katanya.

Sementara itu pengurus pasukan media TH Tanah Suci, Norasyikin Yusof berkata, lawatan itu dibuat supaya pengamal media dapat mengetahui sejarah di tempat-tempat bersejarah yang dikunjungi dan lokasi pernah dikunjungi Nabi Muhammad SAW.
"Lawaran ziarah luar ini bagi menambahkan pengetahuan para pengamal media mengenai tempat-tempat bersejarah sekali gus dapat menguar-uarkan kepada masyarakat Malaysia," katanya.
Lawatan ziarah luar Madinah itu turut disertai semua petugas TH dari pelbagai sektor, sebelum mereka memulakan perkhidmatan secara rasmi membantu jemaah Malaysia sepanjang musim haji kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!