Kounde julang Barcelona di pentas final Piala Raja Sepanyol

BARCELONA menewaskan Real Madrid 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol yang mendebarkan di Stadium La Cartuja, hasil jaringan kemenangan Jules Kounde pada minit ke-116.
Pedri membuka jaringan buat Blaugrana kendalian Hansi Flick, sebelum Kylian Mbappe dan Aurelien Tchouameni mengubah kedudukan memihak kepada Los Blancos bimbingan Carlo Ancelotti.
Bagaimanapun, Ferran Torres berjaya menyamakan kedudukan untuk Barcelona, sekali gus memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan sebelum Kounde muncul wira dengan jaringan dramatik.

Kemenangan ini menghadiahkan trofi utama pertama buat Flick serta memperkukuh keyakinan pasukan menjelang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang kelab Serie A, Inter Milan di Estadi Olímpic Lluís Companys, Khamis ini.
"Sungguh luar biasa. Kami semua amat berbangga dengan pasukan ini dan ia merupakan kemenangan yang gemilang buat kita," kata Flick selepas perlawanan.
Perlawanan akhir itu turut dicemari insiden kad merah membabitkan tiga pemain Real Madrid, iaitu Antonio Rudiger, Jude Bellingham dan Lucas Vazquez.
Barcelona kini menambah koleksi kejuaraan Piala Raja Sepanyol mereka kepada 32 trofi, sekali gus terus memegang rekod terbanyak dalam sejarah kejohanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

