Pengantin lelaki dipukul beramai-ramai selepas ijab kabul

JAKARTA – Seorang pengantin lelaki dipukul oleh sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai hubungan keluarga dengan pihak pengantin wanita.
Kejadian itu berlaku selepas majlis ijab kabul sebuah perkahwinan di Desa Sendana, Kecamatan Kasimbar, Kabupaten Parigi Moutong, Sulawesi Tengah.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, kejadian itu berlaku pada Rabu semasa pengantin lelaki dan wanita berjalan bersama di dalam sebuah ruangan.
Tiba-tiba, beberapa individu muncul dan memukul pengantin lelaki tanpa amaran.
Dalam video tersebut kelihatan suasana menjadi tegang dengan tindakan agresif oleh beberapa orang.
Motif serangan itu masih belum diketahui, namun berdasarkan laporan dari TribunPalu.com, dipercayai para pelaku mempunyai hubungan keluarga dengan pengantin wanita dan mungkin merasa tersinggung atau sakit hati terhadap pengantin lelaki.
Warga Desa Sendana menyuarakan rasa kecewa dan berharap pihak berkuasa segera mengungkapkan motif sebenar di sebalik kejadian itu serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
Kapolsek Kasimbar, Ipda Arman berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam serangan tersebut.
"Pelaku yang memukul pengantin lelaki telah kami kenal pasti, iaitu merupakan keluarga pihak pengantin wanita," ujarnya.
Suspek dipercayai melarikan diri sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih berusaha mengesan keberadaan suspek tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!