Kes denggi di Melaka catat penurunan

MELAKA - Sebanyak 403 kes denggi dicatatkan di Melaka hingga Minggu Epid 16, menurun 43.95 peratus berbanding 719 kes bagi tempoh masa sama pada tahun lepas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kumulatif kes kematian pada tahun ini merekodkan satu kematian berbanding dua kes akibat denggi bagi tempoh masa yang sama pada 2024.
"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah menjalankan pelbagai tindakan kawalan bagi menangani kenaikan kes denggi di negeri ini seperti semburan kabus, larvaciding dan pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Ia termasuk mengambil langkah pencegahan inovatif ke arah pengurangan kes denggi melalui kaedah pelepasan nyamuk aedes berwolbachia yang merupakan sebahagian inisiatif bersepadu dalam membanteras penularan penyakit bawaan nyamuk," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu, beliau merasmikan Projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Taman Seri Telok Mas, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, projek di taman berkenaan merupakan lokaliti kelima dipilih selepas Taman Bemban Jaya, Pangsapuri Taman Tasik Utama, Desa Taming Sari Sungai Udang dan Pangsapuri Seri Utama.
Beliau berkata, pelaksanaan pelepasan nyamuk wolbachia di lokaliti terbaharu itu setelah empat lokaliti sebelum ini menunjukkan kejayaan penurunan kes hingga melebihi 70 peratus.
"Taman Seri Telok Mas dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan ia akan bermula pada 28 April dengan pelepasan nyamuk aedes berwolbachia sebanyak 30 kali.
"Setiap pelepasan melibatkan 25,000 ekor dalam tempoh dua tahun enam minggu projek ini dijalankan dan projek di sini dijangka berakhir pada Februari 2027," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu turut disokong oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), jawatankuasa penduduk, pemimpin komuniti dan inisiatif ini dilihat bukan sahaja mengurangkan kes denggi di situ, malah memberi manfaat jangka panjang kepada kawasan sekitar.
Katanya, kejayaan daripada projek terbabit juga akan diperluas dan dilaksanakan di lokaliti lain berdasarkan keperluan sebagai satu kaedah baharu dalam pengawalan demam denggi di Melaka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!