Lelaki bunuh ibu dalam upacara 'usir syaitan'

TEXAS - Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) tergamak membunuh ibu sendiri dalam apa yang didakwanya sebagai upacara 'pengusiran syaitan' di kediaman mereka di Fort Worth, Texas.
Insiden berlaku sekitar jam 1.30 pagi (waktu tempatan) pada 18 April lalu di sebuah rumah di Farmers Branch Street selepas seorang individu yang menerima gambar mengerikan menerusi aplikasi Snapchat membuat laporan kecemasan.
Gambar itu dikatakan menunjukkan seorang wanita terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah.
Polis mengenal pasti suspek sebagai Alexander Taylor Valdez, 23, yang didakwa menghantar gambar tersebut ke dalam kumpulan Snapchat.
Ketika polis tiba, Valdez membuka pintu dalam keadaan mukanya, badan, tangan dan kakinya dipenuhi darah sambil memegang senaskhah Bible.
“Ia adalah satu upacara pengusiran syaitan,” katanya kepada pihak polis.
Pemeriksaan di dalam rumah menemui mayat ibunya, Tersita Sayson, 58, di bilik tidur utama dengan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Turut ditemui ialah bangkai seekor anjing, manakala siasatan lanjut menemukan darah dan rambut disumbat ke dalam kotak barang kemas yang telah pecah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan laporan perubatan mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan kesan senjata tumpul di kepala.
Ketika disoal mengenai kejadian itu, Valdez memberitahu ia sebahagian daripada ritual.
“Saya buat sihir untuk bunuh ibu saya. Ada mayat dalam bilik itu, itu ibu saya,” katanya.
Walaupun mengaku membunuh di tempat kejadian, Valdez kemudiannya enggan memberi keterangan lanjut dan meminta khidmat peguam.
Dia kini ditahan dengan ikat jamin sebanyak AS$750,000 (RM3.6 juta) dan berdepan tuduhan membunuh.
Motif kejadian masih belum didedahkan dan siasatan masih diteruskan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
