'Aidilfitri atas air' tarikan baharu Melaka

Pengunjung termasuk tetamu yang hadir menikmati juadah di atas Kapal Mendam Berahi pada majlis itu. Gambar kecil: Shaharul Azuar
Pengunjung termasuk tetamu yang hadir menikmati juadah di atas Kapal Mendam Berahi pada majlis itu. Gambar kecil: Shaharul Azuar
A
A
A

MELAKA - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menggunakan kreativiti dalam memperkenalkan produk pelancongan terbaru mereka seperti bot premium Melaka River Cruise (MRC) sebagai ruang orang ramai menjamu selera pada majlis rumah terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, program anjuran agensi itu bukan sahaja menceriakan sambutan tetapi turut memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana unik dan maklumat lanjut perkhidmatan bot yang ditawarkan di Sungai Melaka.

Menurutnya, ini merupakan salah satu usaha untuk PPSPM tampil lebih kreatif dengan memperkenalkan produk pelancongan sebagai ruang menjamu selera berkonsepkan 'Aidilfitri atas air.'

Antara bot MRC yang disediakan kepada pengunjung untuk mencipat kelainan hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri.
Antara bot MRC yang disediakan kepada pengunjung untuk mencipat kelainan hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Katanya, meskipun bot berkenaan tidak bergerak namun tetap memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai juadah termasuk ketupat dan rendang sambil melihat panorama Sungai Melaka.

"Terdapat enam buah bot yang dibuka kepada umum sebagai ruang makan istimewa seperti Everlasting, Tun Khalil dan tidak ketinggalan Kapal Mendam Berahi.

“Matlamat utama, mengeratkan silaturahim antara agensi, komuniti dan kakitangan, sambil memperkenalkan produk kami yang mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di Melaka," katanya kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka PPSPM di Dataran Pengkalan Rama, di sini, pada malam Khamis.

Dalam perkembangan lain Shaharul Azuar berkata, antara program mega yang akan menceriakan sungai Melaka pada tahun ini termasuk penganjuran Festival Sungai Melaka dijangka akan bermula 20 hingga 29 Jun depan.

Ujarnya, pada festival itu turut akan diadakan Festival Perahu Naga Antarabangsa bermula 20 hingga 22 Jun selain Pertandingan Memasak Makanan Tradisional Terpanjang yang mana program ini turut menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR).

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik yang dirancang sepanjang tahun ini bagi memeriahkan aktiviti di Sungai Melaka sekali gus menarik kehadiran pelancong," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!