Bertanding ketika masih ahli Pejuang, kemenangan Ketua Cabang Jempol terbatal

SEREMBAN - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Ketua Cabang Jempol terpaksa diadakan semula berikutan Azizah Salim Shah didapati masih ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika bertanding.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semakan mendapati wanita terbabit hanya keluar daripada Pejuang selepas kemenangannya.
"Terus terang saya katakan pada minggu ini akan ada pemilihan semula Ketua Cabang Jempol.
"Ini kerana pemenangnya masih lagi ahli Pejuang ketika bertanding dan dia hanya meletakkan jawatan sebagai ahli parti itu selepas kemenangannya," katanya ditemui pemberita selepas Istiadat Perasmian Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan, perkara berkenaan telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah memutuskan untuk diadakan pemilihan semula.
Ditanya adakah apa yang terjadi menyebabkan berlaku keadaan kucar-kacir kepada parti terbabit, Aminuddin berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.
"Sekarang ini orang cuba dapatkan jawatan dari mana-mana kalau boleh, jadi parti ini dia masuk dan parti itu pun dia masuk.
"Bila kita buat siasatan terperinci, memang sah dan terpaksa keluarkan dia demi keselamatan parti," katanya.
Beliau memaklumkan, JPP juga akan membuat penilaian secara menyeluruh bagi semua pemenang Ketua Cabang untuk memastikan isu sama tidak berlaku.
Azizah memenangi jawatan Ketua Cabang Jempol apabila memperoleh 450 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Beliau menewaskan Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin yang memperoleh 248 undi diikuti Muhammad Asri Abdullah (83 undi) serta K Mariappan (52 undi).
Seramai 1,028 ahli layak mengundi dan sebanyak 836 kertas undi dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

